Saturday, November 29, 2008

Plutorian

AKMAL kelihatan sungguh gelisah. Sesekali Akmal mencebik. Dia tidak dapat mengawal perasaan gemuruh yang kian memakannya. Berada di hadapan ribuan tetamu kehormat Kementerian Pendidikan cukup membuatkannya berasa amat takut. Terlintas di mindanya akan satu perkara. Tidak perlu takut dan gentar kerana apa yang telah dilakukannya adalah satu kejayaan yang amat besar. Benar, Anugerah Cemerlang Fizik yang akan diterimanya merupakan kejayaan yang amat bermakna buatnya.

“ Dipersilakan saudara Akmal Bin Suhaili tampil ke hadapan untuk menerima anugerah daripada Datuk Shukor Ibrahim , Menteri Pendidikan Malaysia.”

Tiba-tiba nama Akmal di panggil.

Akmal kembali gugup. Semua tetamu yang hadir memberikannya tepukan yang amat gemuruh dan aneh, perasaan gementarnya tiba-tiba hilang malah perasaan bangga mula menguasai dirinya. Senyuman manis lahir dari bibir remaja yag bernama Akmal itu. Akmal menguja ke arah pentas. Serta merta dia menghulurkan tangan kepada Menteri Pendidikan.

“ Tahniah, pelajar seperti adiklah amat dicari di negara kita. Teruskan berusaha”
Ujar Datuk Shukor.

Akmal tidak dapat berkata apa-apa. Dia terlalu gembira. Senyuman terus terukir pada wajahnya. Anugerah Cemerlang Fizik yang diterimanya adalah hasil usahanya mencatatkan markah tertinggi dalam Ujian Fizik Peringkat Kebangsaan, mata pelajaran yang menjadi kegemarannya. Akmal begitu meminati mata pelajaran ini terutamanya dalam bidang angkasa lepas. Seringkali Akmal berfikir, apakah ada kehidupan di planet-planet sekitar bumi. Planet yang menjadi sasarannya ialah Pluto. Planet yang tersejuk dan paling asing berbanding planet-planet lain. Akmal begitu berharap suatu hari nanti, dia berjaya mengungkap misteri planet yang menjadi tumpuannya iaitu Pluto namun Akmal berasa jengkel serta sedih kerana ramai di antara rakan-rakannya hanya memandang remeh akan idea dan pendapatnya mengenai planet itu.

“ Akmal, sudah... Hentikan sahaja usahamu itu. Semuanya kelihatan mustahil….mustahil Akmal.”

Akmal tersentak. Rupa-rupanya pesawat yang dinaikinya telah pun menggegar landas pacu. Ingatannya terhadap malam anugerah pelajar cemerlang terus hilang. Setelah selesai menuntut bagasi, Akmal terus mencari kalau-kalau ada orang yang menjemputnya. Sangkaan Akmal tepat. Profesor Suhaili datang menjemputnya.

“ Selamat pulang anakku.” Ujar Profesor Suhaili.
“ Ayah ini untuk ayah.” Akmal mengeluarkan trofi anugerah Fizik daripada begnya.
“ Hebat, sungguh tinggi IQ mu. Ayah begitu bangga denganmu, Akmal”

Hujan turun tanpa memberi amaran. Keadaan di Lapangan Terbang Kuching itu tiba tiba berubah menjadi sesak.

“ Ayah, pada pendapat ayah, mampukah kita mengembara hingga ke Planet Pluto?” Satu soalan terpacul dari mulut Akmal.

Profesor Suhaili tersenyum ketika mendengar pertanyaan anaknya itu.

“ Kau sepatutnya tahu kan Akmal? Bukankah kau telah memenangi anugerah cemerlang Fizik? Apakah jawapanmu saintis muda?”
“ Entahlah ayah tapi saya yakin kita mampu dan mungkin ada organisma yang hidup di dalamnya.” Balas Akmal kembali sambil merebahkan kerusi kereta untuk berehat seketika.

“ Dozier, Chong, kamu berdua tahu minat aku kan?” Soal Akmal.
“ Ya …kami tahu…kau amat meminati Fizik serta Sains Angkasa tapi aku rasakan pendapat kau itu terlalu idealistik.” Ujar Dozier dan Chong hanya sekadar mengangguk.
Sekali lagi Akmal berasa hampa. Hampa dengan jawapan rakan-rakannya itu.

“ Tapi Akmal, kita cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh.” Chong akhirnya bersuara.
“ Terima kasih, Chong. Aku hampir berputus asa dengan apa yang berlaku kini.” Akmal menarik nafas lega.

Akmal begitu tekun menelaah mata pelajaran –mata pelajarannya di sekolah termasuk mata pelajaran Fizik. Hasratnya tetap lestari.

“ Akmal, kamu saya lihat terlalu sibuk dengan kerja-kerja kamu. Kamu perlu berehat juga Akmal.” Tiba-tiba suara garau menyapa Akmal. Akmal menoleh.
“ Cikgu Chua…biasalah cikgu, lagipun SPM tidak lama lagi.”
“ Bagaimana dengan projek kamu yang terbaru…Pluto? Er …laporan apakah itu, Akmal?” Ujar lelaki yang sudah separuh abad usia itu. Akmal dapat mencium unsur-unsur sindiran tersebut.

“ Er…tidaklah cikgu. Itu merupakan idea sahaja.” Akmal cuba menyembunyikan rasa malunya.

Pada malam yang suram itu Akmal berfikir-fikir. Mulutnya bagaikan mengubit seolah-olah cuba untuk berkata sesuatu. Lantas Akmal melemparkan paandangannya keluar. Dia tahu jam baru menunjukkan pukul 9 malam. Walaupun kelihatan suram, bintang-bintang telah pun bergelantungan di langit. Biduk, Belantik malah Pari yang unik turut kelihatan di langit yang luas.

“ Marikh telahpun manusia jelajahi. Utarid, Zuhrah, Uranus…dan kau Pluto…entah mengapa kau agak menarik perhatianku.” Hati kecil remaja itu mula berbicara.
“ Mungkinkah ada penghuni di dalammu?”
“ Aku yakin… aku pasti memperoleh kekunci untuk semua itu.”


Akmal tidak berdaya lagi untuk meneruskan bicara. Desakan anak matanya terlalu kuat. Akhirnya Akmal terlena dalam hembusan bayu malam yang sejuk mencengkam . Professor Suhaili hairan melihat tingkah laku anak sulungnya itu. Terlalu taksub dengan keajaiban sains. Adakah Akmal akan mengikuti jejak langkahnya nanti ? Terlintas di benak fikirannya akan pepatah Melayu yang mengatakan “bapa borek,anak rintik”. Mungkin ada benarnya pepatah tesebut. Profesor Suhaili masih ingat ketika anaknya itu berjaya menerangkan unsur-unsur yang terdapat dalam batuan Marikh. Pendapat anaknya mengenai Pluto …dia sendiri amat berat untuk mengatakannya kerana dia sendiri belum lagi arif mengenai planet yang agak terasing iu. Bidang biofizik yang diceburinya tidak merangkumi bidang tersebut. Sesekali Profesor Suhaili berfikir, apakah ada organisma yang wujud di Pluto? Menurut kajiannya yang muktahir, Pluto merupakan sebuah planet yang mempunyai cuaca yang amat ekstrem. Profesor Takenori, sahabat baiknya dari Universiti Tokyo turut mempunyai konklusi yang sama iaitu tiada hidupan di sekitar planet itu.

Akmal menghirup dengan sepuas-puas hatinya udara yang segar pada pagi itu. Kole yang berisi Nescafe panas dihirupnya perlahan-lahan. Sungguh mengasyikkan. Siulan burung Magpie memecah kesunyian pagi itu. Pepohon mangga di sekitar kawasan rumahnya seolah-olah melambai diri Akmal. Akmal mendongak ke arah langit yang masih lagi samar-samar ketika itu.

“ Ayah, saya nak pergi ke rumah Chong sekejap.” Ujar Akmal sambil mengemas buku-buku ilmiahnya ke dalam beg.
“ Pulang sebelum makan tengah hari,ya.” Balas Professor Suhaili yang sibuk mencuci kenderaan kesayangan, sebuah BMW berwarna biru metalik.

Rumah Chong terletak tidak jauh dari rumah Akmal. Cuma kira-kira 500 meter sahaja. Di sepanjang jalan menuju rumah Chong terdapat Taman “Wetland” yang dibina oleh Dewan Bandaraya. Taman yang menjadi tempat kegemaran Akmal beriadah. Akmal mengeluarkan lenso dari poket seluarnya lalu mengelap titisan peluh yang menitik.

“ Jadi sinar ultraungu dan sinar infra merah merupakan cahaya nampak?” Chong masih belum faham subtopik Fizik itu.
“ Ya. Selain itu semua spektrum gelombang adalah sama halajunya, Chong.” Balas Akmal. Mulut Chong melongo. Berasa aneh disebabkan kebolehan Akmal menghafal kelajuan halaju sinar gelombang.

Akmal menyiapkan laporan eksperimen dengan pantas. Penuh cekatan .Sekejap sahaja dua helai kertas tertulis dengan laporan-laporan yang berkaitan dengan eksperimen.

“ Akmal macam mana kau boleh jadi hebat ha?” soal Chong kehairanan.
“ Usaha dan jangan putus asa. Itu merupakan asas kepada kejayaan Chong.” Ujar Akmal dengan selamba.

Akmal melihat jam pada tangannya. Sungguh tidak disangkanya jam sudahpun menunjukkan pukul sebelas setengah. Serta-merta janjinya terhadap Profesor Suhaili terlintas di minda.

“Akmal, minggu depan merupakan minggu penentu bagimu. Ayah harap kau akan buat dengan baik sepanjang minggu itu.” Ujar Profesor Suhaili ketika memulakan bicara.
“Doakan kejayaan saya ayah. Insya Allah saya akan berjaya.” Balas Akmal dengan penuh yakin.

Pen mata bola itu diputarnya berkali-kali. Akmal kembali memutarkan perbualan ayahnya sebentar tadi. Minggu depan SPM akan bermula. Sungguh cepat sekali masa berlalu. bulan Januari, Febuari dan seterusnya bagaikan titisan air menitik satu demi satu. Akmal bangkit lalu menuju ke ruang tamu. Nombor 52 ditekannya pada alat kawalan jauh televisyen. Kebetulan rancangan National Geographic mengenai angkasa sedang ditayangkan. Mata Akmal seolah-olah terpukau. Apa yang menarik perhatiannya, rancangan tersebut mengetengahkan beberapa jenis gelombang elektromagnet dapat dihasilkan untuk dijadikan pemancar ke angkasa lepas. Mulut Akmal terlopong. Tiba-tiba terlintas sesuatu di mindanya.

“ Gelombang sinar gamma….” Desis hatinya.
“ Ya …sinar gamma…….Yes aku hampir memperoleh kekuncinya.” Ujar Akmal sendirian.

Akmal kembali semula ke bilik. Buku-buku rujukan Fizik di bukanya. Tidak lupa buku “Modern Physics” dan “Outerspace” turut dibuka. Kemudian Akmal tersenyum. Terdapat beberapa persamaan yang agak ketara dalam keempat-empat buku tersebut. Sinar gelombang mampu memecut dan memintas kelajuan cahaya seterusnya menjadi “transmitter” kepada galaksi lain. Akmal kemudian tersenyum.

“ Calon-calon sekalian, masa sudah tamat. Dengan senyap kumpulkan kertas jawapan dan letak di sisi kiri anda.” Kedengaran arahan dari Ketua Pemeriksa yang bertugas.

Akmal masih tenang. Sempat juga dia meneliti gelagat kawan-kawannya yang lain. Hari itu merupakan hari ketiga ujian SPM diadakan. Kertas Bahasa Inggeris tadi agak sukar juga untuk dijawab. Akmal terus menguja ke arah Dozier dan Chong. Ternyata kedua-dua mereka berasa hairan.

“ Aku rasa aku boleh menyelesaikan masalah pertama.”
“ Betul katamu Akmal ?” Riak muka Dozier berubah.
“ Transmisi daripada gelombang sinar, mampu memintas kelajuan cahaya.” Jelas Akmal. Sungguh.
“ Jangan berguraulah Akmal.” Dozier menjadi kurang yakin.
“ Apa kata selepas ujian nanti , waktu petang kita akan ke Makmal Fizik. Nak tak?” tiba-tiba terpacul idea tersebut dari mulut Akmal.
“ Cikgu Chua ?” Dozier dan Chong berkata dengan serentak.
“ Tiada masalah, aku ada kunci pendua, aku ambil dari penjaga bangunan. Percayalah kepada aku.” Akmal sendiri sendiri agak tergamam dengan kata-katanya. Entah mengapa lancar benar mulutnya berkata demikian.


Dozier, Akmal dan Chong kini merasakan sesuatu yang amat besar impaknya akan berlaku. Mungkin akan membuka lembaran baru dalam bidang sains. Mereka membuat persediaan dengan teliti. Perancangan yang jitu membolehkan mereka memasuki makmal tanpa diketahui oleh pembantu makmal dan Cikgu Chua. Walaupun mereka tahu tindakan mereka boleh memberikan implikasi yang buruk namun mereka sedar itulah satu-satunya peluang mereka. Mereka mesti melakukannya waima tahu akan risikonya.

“ Akmal, Chong, this is our chance.” Ujar Dozier. Remaja berbangsa Iban yang pada mulanya berasa ragu-ragu terhadap idea Akmal.

Jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Akmal,Dozier, dan Chong sudahpun berada di kantin. Akmal pergi dahulu sebelum diikuti Dozier dan seterusnya Chong. Mujurlah tiada seorang pun pembantu makmal yang berada di sekitar Makmal Fizik itu. Dengan penuh cekatan Akmal membuka Makmal Fizik yang telah dikunci itu dengan kunci simpanannya. Peluh-peluh jantan mula menitik di kalangan muka mereka bertiga. Chong mencebik. Perasaan takut mula menguasai diri Chong.

“ Aku takutlah Dozier.” Dalam suara yang agak perlahan.

Kata-kata Chong itu tidak diendahkan oleh Dozier dan Akmal. Mereka berdua sibuk memasang komponen elektrik yang boleh mengeluarkan gelombang sinar. Segala persiapan adalah berdasarkan buku “Outerspace” dan buku “Modern Physics” kepunyaan Akmal. Chong pula tidak dapat berkata apa-apa melainkan melakukan kerja-kerja pemasangan komponen tadi ke komputer mudah alihnya. Hujung muncung alat ciptaan mereka dihalakan ke tingkap agar sinar dapat dipancarkan ke langit.

“ Dozier hidupkan suis, Chong fokus kepada arah pancaran. Ok satu..dua..tiga.. hidupkan ! ” Tegas Akmal.

Entah dari mana datangnya punca cahaya yang berwarna biru tiba-tiba menyelubungi Makmal Fizik. Bermula dari bekalan voltan lampau tinggi kepada alat yang mengeluarkan gelombang sinar. Ketiga-tiga mereka terkesima. Komputer Chong mula mengeluarkan bunyi seakan-akan tit..tit..tit. Kemudian, komputer mereka tiba-tiba mengeluarkan bunyi aneh, seolah-olah menandakan kehadiran objek asing. Ketiga-tiga mereka melonjak kegembiraan. Chong segera mencatatkan tegak rekod-rekod pancaran yang telah mereka hasilkan tadi.

“ Kita sudah memperolehi kekunci kedua.” Jelas Dozier.

Akmal masih lagi memikirkan tentang peristiwa petang tadi. Mindanya kembali memutarkan detik-detik yang agak mencemaskan lewat petang tadi. Puas dia berfikir, gelombang sinar yang terhasil telah terpancar keluar dari bumi dan memintas kelajuan cahaya. Marikh, Musytari, Zuhal telahpun dilintasinya. Entah mengapa dahi Akmal berkerut seketika.

“Apakah objek yang telah menangkap sinar itu?” Getus hati kecilnya.

Tidak..tidak mungkin Planet Pluto yang menangkapnya. Akmal tidak yakin akan keputusan itu kerana kalau difikirkan, agak mustahil planet sejauh itu menerima pancaran gelombang sinar. Tiba-tiba komputer ribanya berbunyi…Akmal tersentak. Lamunannya mati. Dia bingkas bangun lalu menuju ke arah komputernya. Aneh, terdapat satu titik di luar orbit planet-planet Sistem Suria terpapar pada monitor komputernya. Akmal segera memeriksanya lagi.

“ Ada respon dari sana ….mustahil!”

Setelah diamatinya dengan sekian lama, kening Akmal terangkat. Tidak percaya apa dilihatnya. Satu planet telah memancarkan balik gelombang sinar yang telah mereka hantar petang tadi. Sungguh pantas. Cuma empat jam sahaja pancaran tersebut dihantar balik. Ingin sahaja dia memberitahu Chong dan Dozier. Akmal segera bersiap. Penting baginya untuk memberitahu kedua-dua rakan-rakannya itu mengenai respons yang telah diterimanya sebentar tadi. SPM? Entah, Akmal tidak begitu memikirkan tentang SPM. Apa yang pasti, dia sedang berusaha menyelesaikan persoalan yang telah lama terbuku di mindanya.

“ Dozier dan Chong mesti diberitahu mengenai hal ini.” Ujar Akmal kembali mengintai keadaan di luar ruang tamu rumah. Takut-takut kalau ayahnya masih belum ke kamr tidur. Akmal melangkah dengan penuh berhati-hati.
“ Sungguh ?” Tegas Chong. Dozier terkesima.
“ Cuba kau buka komputermu Chong, mungkin rekodnya sama dengan rekod komputerku.” Balas Akmal.

Selepas mereka bertiga melakukan eksperimen lewat petang tadi, aku dan Chong terus mengarahkan komputer mereka ‘hibernate’ untuk seketika waktu. Tidak ‘shut down’ sepenuhnya namun memberikan peringatan kalau terdapat sebarang isyarat. Sungguh bitara sekali komputer mereka.

“ Dapatkah kita menganggar jarak planet itu?” Dozier kembali bersuara.
“ Belum pasti aku akan berbincang dengan ayahku.” Balas Akmal. Dia tahu sebarang bantuan dari ayahnya akan menjadikan kajian mereka lebih bermakna.
“ Cikgu Chua?”
“ Dia akan kita beritahu nanti.” Ujar Akmal menutup pertanyaan Chong.
“ Bagus, jadi sekarang kita hanya menunggu perkembangan pancaran ini. Elok kita berhenti dulu. Esok masih ada ujian yang menunggu kita.” Tegas Dozier. Dia berasa agak resah kerana waima eksperimen yang telah dilakukan mereka memberikan implikasi yang positif namun mereka tidak sepatutnya mengabaikan ujian SPM. Chong mencebik. Dia sudah tidak sabar lagi untuk memberitahu Cikgu Chua mengenai eksperimen mereka.
“ Kita akan buktikan kepada Cikgu Chua bahawa kita selama ini tidak bermimpi.” Ujar Akmal dengan nada yang agak sinis.
“ Ada hidupan di sana…aku pasti.” Tambah Dozier.
“ Apa? Mustahil......mustahil Akmal. Mana mungkin pancaran gelombang sinar dapat ditangkap dan dipancar balik dalam masa empat jam.” Mimik muka Cikgu Chua berubah.
“ Betul Cikgu, ini buktinya......” Jelas Dozier lalu mengeluarkan sehelai kertas cetak yang mengandungi butir-butir peristiwa semalam. Kertas itu ditatap Cikgu Chua dengan penuh teliti.
“ Ah, mungkin ada kesilapan di dalam eksperimen kamu. Cikgu masih tidak percaya masakan ada sebarang organisma hidup di sana. Kamu semua sudah maklum suhu di sana adalah ekstrem. Bawah paras beku!”
“ Sudahlah Cikgu kalau Cikgu tidak percaya. Jika kami betul, satu lembaran baru akan wujud dalam bidang sains. Pasti ada hidupan di sana yang menyerupai kita.” Jelas sekali kehampaan terpancar pada wajah Akmal.

Dozier membisu, Chong turut membisu. Seolah-olah sejagat raya berdekah-dekah mentertawakan mereka. Akmal pula menjadi sugul. Dozier bangkit dari tempat duduk. Menghampiri Akmal.

“ Sudahlah, Akmal. Tidak ada gunanya kita berasa kecewa kerana hal ini. SPM hanya tinggal tiga hari saja untuk tamat.Sudah....Akmal.” Ujar Dozier menyapa bahu Akmal.
“ Kau menyerah kalah Dozier?”
“ Tidak....Akmal. Berhenti bukan bererti menyerah kalah. Fokuskan kepada ujian dahulu Akmal...sudahlah.” Balas Dozier, cuba mengawal perasaan hampa sahabatnya itu.

Eksperimen itu menjadi seakan-akan tidak bermakna lagi. Malam yang sunyi itu, mereka berkumpul untuk menelaah subjek Kimia. Mereka berkumpul di rumah Dozier yang terletak cuma dua ratus meter dari rumah Chong. Akmal tidak kisah, walaupun rumahnya jauh dia sanggup berkorban demi SPM yang seolah-olah “diabai”nya selama ini.


Suasana begitu tenag pada malam itu. Syukur SPM telahpun melabuhkan tirainya. Soalan-soalan kimia pagi tadi mampu dicerna Akmal dengan baik. Bunyi hilaian ketawa mencecah kesunyian malam itu. Entah apakah yang menjadi bahan ketawa mereka bertiga. Mungkin terlalu gembira apabila SPM telah tamat. Rumah Dozier kembali bergema.

“ Bila ibu bapamu akan balik, Dozier?”Chong bersuara.
“ Mungkin pukul sepuluh nanti.” Mata Dozier masih lagi berair menahan ketawa. Akmal kembali menghirup sirap ros di dalam gelasnya.


Tiba-tiba, sinar cahaya putih memancar ke dalam rumah. Kemudian satu jalur cahaya magenta menyelubungi luar kawasan rumah. Terpegun dengan apa yang terjadi, ketiga-tiga mereka keluar. Cahaya magenta tersebut terlalu terang. Akmal mula dicakar rasa cemas. Begitu juga Dozier dan Chong. Sungguh mereka takut melihat fenomena itu. Tiba-tiba, di dalam cahaya magenta itu turun suatu objek berbentuk bujur dan agak bulat. UFO? Itulah yang bermain ligat di dalam kepala Akmal. Mulut Dozier dan Chong masing-masing melopong membentuk huruf O. Jarak objek tersebut hanyalah 3 meter dari mereka dan kira-kira 12 kaki di atas udara. Kemudian keluar pula satu cahaya biru menuju ke arah mereka. Entah bagaimana Akmal, Dozier dan Chong bertukar menjadi kecil . Ketiga-tiga mereka bertukar rupa menjadi betul-betul bulat dan kecil seperti guli . Akmal, Dozier dan Chong hilang tanpa meninggalkan bekas namun, dompet Akmal tercicir. Betul-betul terjatuh di depan halaman rumah Dozier itu.

“ Di manakah kita sekarang? ” Ujar Dozier dengan nada yang agak cemas.

Ketiga-tiga mereka telahpun pulih ke bentuk asal. Akmal menepuk-nepuk seluarnya. Chong pula memeriksa badannya. Takut-takut terdapat sebarang kecederaan. Kemudian Chong hampir-hampir terduduk apabila melihat keadaan sekeliling mereka. Dozier dan Akmal melongo. Mereka kini berada di dalam sebuah kapal angkasa. Memang tepat jangkaan Akmal. Inilah yang disebut UFO. Benda yang sering menjadi tanda tanya namun kini, mereka sendiri berada di dalamnya. Tangan Akmal meraba dinding kapal angkasa itu. Sungguh halus sekali pembuatannya. Tiba-tiba muncul satu lembaga yang berwarna biru. Agak-agak berketinggian 1.5 meter, matanya bujur telur dan memiliki hidung serta mulut yang kecil. Akmal, Dozier dan Chong terkejut.

“ Selamat datang, jangan takut. Saya tidak akan mengapa-apakan anda.” Ujar lembaga itu.
“ Siapakah kau, dari manakah kau datang dan apa tujuan kau menangkap kami? ” Sergah Dozier.
“ Saya Zeon dan saya datang dari jauh, amat jauh sekali”
“ Jauh?” Jawab Akmal.
“ Ya......saya datang dari planet Pluto. Kamu telah memancarkan satu gelombang sinar kepada kami dan kami ingin menyiasat bagaimana kamu melakukannya”. Balas lembaga yang memperkenalkan dirinya sebagai Zeon itu.
“Maksud kau sinar Gamma? ” Kini giliran Chong pula bersuara setelah sekian lama membisu.
“ Benar, dan saya ingin membawa kamu ke planet saya. Harap kamu dapat memberikan sesuatu yang berharga mengenai pemancaran Sinar Gamma.” Kening Akmal terangkat setelah mendengar perkataan “membawa” dari lembaga itu. Selain itu dia juga berasa terkejut kerana lembaga itu fasih berbahasa melayu.


“ Gila, aku tidak mahu Akmal.” Tegas Chong.
“ Chong, fahamilah situasi kita bertiga. Ini merupakan satu peluang yang mungkin datang sekali dalam sejuta. Selama ini mereka anggap kita tidak betul, Chong. Kini lihatlah, siapa yang tidak betul? Siapa?” agak panjang penjelasan Akmal itu.
“ Baiklah, aku ingin menjadi terkenal, Akmal. Mari....teruskan!” Tiba-tiba Chong berdiri. Nada suaranya itu jelas menunjukkan dia bersetuju.

Ketiga-tiga mereka dibawa Zeon ke ruang kokpit kapal angkasa milik Zeon. Masing-masing berasa taksub. Amat berlainan berbanding kokpit kapal angkasa manusia. Di sekitarnya terdapat banyak mekanisme yang kurang mereka fahami.

“ Lihat, itulah planet marikh. Kamu boleh melihatnya dengan jelas bukan?” Ujar Zeon.
“ Wow, cantik betul. Lebih cantik dari apa yang aku lihat dalam buku ”. Jawab Dozier dengan penuh taksub.
“ Sekarang sila ambil tempat duduk masing-masing. Saya akan mempercepatkan kelajuan kapal ini ke tahap kelajuan cahaya.” Tambah Zeon.
“ Bagaimana, Zeon?” Akmal kurang pasti.
“ Dengan mengaktifkan Omega 15. Sejenis molekul tenaga yang terdapat di dalam kerak serta mantel planet Pluto”. Jelas Zeon lagi. Akmal tidak faham..


Dozier dan Chong telahpun bersedia. Begitu juga dengan Akmal. Akmal menutup matanya.

“ Bersedia? Satu......dua ......tiga!” Zeon menekan butang yang berwarna merah di tepi kawalan utama.

Serta-merta kapal angkasa mereka bergegar. Akmal menahan kerusinya. Kelihatan keadaaan di luar kapal berubah menjadi molekul-molekul yang halus. Gedegus! Seolah-olah kapal angkasa itu mendarat namun Dozier, Akmal dan Chong kurang pasti.

“ Anda telah berada di planet Pluto.” Ujar Zeon.
Akmal, Dozier dan Chong terkesima. Tidak percaya akan kata-kata Zeon tadi. Kemudian, Akmal keliru. Bukankah tiada oksigen di luar sana? Malah suhu juga amat ekstrem.

“ Pakaikan ini di baju anda, ia akan membekalkan oksigen dan suhu optimum badan manusia.” Ujar Zeon lagi.

Ketiga-tiga mereka menurut sahaja kata lembaga biru itu. Kemudian pntu kapal dibuka. Zusss. Akmal kembali dicakar rasa cemas. Dozier dan Chong berada di belakang Akmal. Masing-masing berasa takut. Sesekali terbit juga rasa kesal di hati mereka. Alangkah terkejutnya mereka bertiga apabila melihat sebuah bandar yang begitu pesat membangun di hadapan mereka. Zeon tersenyum melihat aksi Akmal, Dozier dan Chong. Sungguh bertentangan dengan apa yang mereka ketahui selama ini. Selama ini mereka cuma mengetahui planet Pluto merupakan planet yang usang namun kini semua itu tidak benar sama sekali. Akmal melangkah ke arah Zeon. Tiba-tiba mereka dikelilingi oleh lembaga yang menyerupai Zeon. Ada yang tinggi dan yang ada yang rendah. Chong cemas.

“ Kami adalah Plutorian. Penghuni planet ini. ” Ujar salah seorang daripada mereka.
“ Silakan ikut kami ke pusat sains kami. Kehadiran anda bertiga amatlah dialu-alukan.” Sambungnya lagi.
“ Lihat, Chong. Mereka begitu ramah sekali.”Ujar Akmal.
Ketiga-tiga mereka menaiki kenderaan yang amat aneh. Tiada beroda dan terapung di atas udara. Akmal teringat akan filem kegemarannya, Star Wars.

“ Alangkah eloknya jika tamadun bumi adalah seperti ini.” Getus hati kecilnya.

Kenderaan-kenderaan para plutorian amat canggih sekali. Akmal kembali merasa kagum. Perjalanan ke Pusat Plutorian tidak lama. Kira-kira 4 minit sahaja. Mreka diketuai oleh Zeon. Setelah memasuki bangunan Pusat Sains itu, Akmal, Dozier dan Chong melongo. Belum pernah dia melihat reka bentuk bangunan seindah itu. Semuanya diperbuat daripada kaca. Sungguh halus sekali pembuatannya. Kemudian mereka sampai di satu tempat yang agak luas dan dikelilingi oleh para plutorian yang agak tua. Mungkin mereka adalah pakar sains di planet itu.

“ Selamat datang penghuni bumi. ” Ujar salah seorang daripada mereka.
“ Kamu telah memancarkan sinar gelombang kepada kami. Kami ....ingin mengetahui bagaimana kamu boleh memperoleh gelombang ini?” Tegasnya lagi.

Akmal menerangkan segala-galanya. Bermula dari voltan lampau tinggi hingga ke komputer. Dozier dan Chong memerhati sekeliling. Zeon turut bersama mereka.

“ Jadi di bumi, pelbagai gelombang sinar dapat diperoleh dengan menggunakan kaedah ini?” Ujar plutorian itu.
“ Ya.....” Tegas Akmal.
“ Tindakan kamu telah menyelesaikan masalah planet kami. Sinar itu begitu penting buat kami. Sinar gamma adalah penting untuk penjanaan semula molekul-molekul Omega 15.” Jelasnya.
“ Setakat ini, plutorian telah menguasai kemajuan galaksi sistem suria tetapi dengan bantuan kamu, bidang sains plutorian telah maju setapak lagi.” Sambungnya lagi.

Lantaran itu, seluruh plutorian yang ada di dataran itu membunyikan bunyi aneh, seakan-akan memberi tepukan yang gemuruh. Akmal, Dozier dan Chong merasakan mereka bagaikan superstar terkenal. Ketiga-tiga mereka berpandangan sesama sendiri kemudian tersenyum. Zeon menghampiri mereka bertiga .

“ Ikut saya mengelilingi planet ini, mahu?”

Akmal begitu tertarik dengan senario planet itu. Penghuninya begitu ramah sekali. Dia turut merasa kagum dengan inteligensia plutorian. Tamadun mereka jauh lebih baik berbanding penghuni bumi. Ternyata arus modenisasi di sini sungguh kuat.

“ Sungguh aman hidup di sinikan Chong? ” Ujar Dozier sembari mengupas sebiji buah yang baru dipetiknya dari taman–taman planet tersebut. Buah itu menyerupai buah oren tetapi warnanya menyerupai warna krim.
“ Aku seringkali bermimpi mengenai planet ini dan penghuninya, lihatlah sekarang. Kita bertiga sahaja dari bumi pergi ke planet ini. Pihak NASA Amerika belum pasti berjaya ke sini.” Jelas Akmal. Chong mengangguk.

Mereka seterusnya dipelawa untuk pergi ke Pusat Penjanaan planet itu iaitu Ulric de Varens, satu dataran kaca yang luas. Di sana terdapat beberapa plutorian sedang bekerja. Mereka sedang berusaha untuk mengeluarkan sejenis objek yang berwarna biru berkilauan. Sebesar sebiji bola keranjang.

“ Omega 15.” Ujar Akmal dalam suara yang perlahan.
“ Inilah Omega 15, Akmal.” Jelas Zeon.
“ Teras kehidupan plutorian.” Tambahnya lagi.

Akmal, Dozier dan Chong tidak berasa letih sepanjang mereka berada di planet itu. Minuman , makanan dan layanan yang baik menjadikan mereka lupa untuk pulang semula ke bumi. Akmal berfikir seketika. Walaupun penduduk di planet itu begitu baik dan segala-galanya lengkap dan tersedia, dia tetap ingat bahawa bumi adalah asalnya bukan di sini. Akmal memanggil Dozier dan Chong...mereka mesti balik...mesti!

“ Akmal, aku...aku berasa berat untuk meninggalkan planet ini. Segala-galanya sempurna.” Akmal terkejut dengan kata-kata Dozier itu.
“ Ingat tujuan kita mengkaji semua ini. Hanya sekadar mengetahui identiti penghuni planet ini. Kini kita sudah berjaya ...manusia di bumi akan berasa bangga atas kejayaan kita terutamanya ibu bapa kita. Oh...tidak lupa juga kepada Cikgu Chua.” Jelas Akmal dengan suara yang amat yakin.

“ Zeon, kami perlu pulang . Sudah hampir 2 hari kami berada di planet ini.” Ujar Akmal.
“ Kamu tidak sukakan planet ini Akmal?” Nada suara Zeon berubah.
“ Bukan itu maksudku Zeon, bukan di sini tempatku. Bumi tempatku dan Pluto tempatmu.” Balas Akmal.
“ Plutorian merupakan masyarakat yang utopia, Zeon. Tempat ini sungguh bitara sekali. Tidak mungkin orang seperti aku tidak berasa aman hidup di dalamnya.” Akmal meneruskan kata-katanya. Chong dan Dozier tidak berkata apa-apa.

Zeon tidak berupaya menahan Akmal dan rakan-rakannya untuk tinggal di sana dengan lebih lama. Dia turut mengerti perasaan Akmal.

“ Selamat jalan wahai orang bumi. Terima kasih atas bantuan kalian semua.” Ujar ketua plutorian yang menjadi ketua Pusat Sains pluto itu. Tatkala itu ia mengkalungkan Akmal, Dozier, dan Chong seutas tali yang menyerupai rantai di leher mereka. Terdapat sejenis batu yang berkilau diikat bersama-sama tali itu. Dozier tersenyum begitu juga Chong.

“ Selamat tinggal plutorian!” Laung Akmal ketika memasuki kapal angkasa milik Zeon. Dozier dan Chong sibuk melambai para plutorian yang hadir ketika itu. Gus....pintu kapal tertutup kembali.

Gedegus!! Kapal angkasa mereka berlepas. Planet pluto telahpun mula hilang dari pandangan. Zeon segera mengaktifkan Omega 15.

Ibu bapa Dozier dan Chong masing-masing gelisah. Profesor Suhaili turut berasa demikian. Kehilangan anaknya tanpa bekas membingungkan pelbagai pihak. Cikgu Chua turut bimbang. Akmal merupakan salah seorang pelajar kesayangannya. Dalam keadaan yang agak suram itu, terbit satu cahaya putih datangnya dari langit. Menuju ke halaman rumah Dozier. Profesor Suhaili berasa cemas. Begitu juga Cikgu Chua , ibu bapa Dozier dan ibu bapa Chong. Cahaya putih itu kemudian bertukar menjadi warna magenta. Cikgu Chua terkesima. Mulutnya melongo. Belum pernah baginya melihat peristiwa seperti itu. Profesor Suhaili turut berasa demikian. Fenomena itu menarik perhatiannya tetepi dengan penuh cemas dia merapati cahaya itu. Gedegus!! Bunyi seperti kapal terbang mendarat. Profesor Suhaili berundur ke belakang. Profesor Suhaili tersentak.

“ Akmal!”
“ Ayah.” Sahut Akmal.
Akmal berpaling semula kepada Zeon. Zeon kelihatan sayu dan sedih.

“ Jangan sedih Zeon, demi kami bertiga.” Ujar Akmal.
“ Jaga diri baik-baik Akmal. Nah, terimalah ini sebagai hadiah dari saya. Awak cuma seru nama saya, saya pasti datang.” Ujar Zeon.Satu kalung yang berwarna perak dihulurnya kepada Akmal.
“ Terima kasih Zeon, kirimkan salamku kepada seluruh plutorian. Semoga semua warga pluto hidup aman dan damai.” Balas Akmal.
“ Selamat tinggal Zeon.” Jawab Dozier.
“ Kami pasti menyerumu kelak.” Tambah Chong.

Cahaya magenta beransur-ansur hilang. Kemudian kapal angkasa Zeon lenyap dari pandangan.

“ Akmal, itukah yang kamu cari selama ini?” Profesor Suhaili seakan-akan tidak percaya.
“ Ya ayah .” Ujar Akmal sembari mengukir senyuman.
“ Mereka jauh lebih bertamadun dari kita, ayah. Dan mereka juga mempunyai Omega 15.” Jelas Akmal.
“ Omega 15, ” Profesor Suhaili tidak mengherti.

Masing-masing memeluk erat anak mereka. Cikgu Chua menghampiri mereka. Selama ini dia berpendapat tiada hidupan wujud di sana namun kini dia telah mengetahui wujudnya hidupan di pluto.

“ Tahniah Akmal.”

Peristiwa itu mungkin tidak dapat Akmal lupakan sepanjang hayatnya. Berada di sebuah tempat yang terasing...pluto. Dengan sehelai sijil yang tertera pangkat satu di dalam tangannya. Akmal berhasrat menyambung semula minatnya terhadap sains angkasa setelah berada di universiti nanti. Dozier dan Chong turut cemerlang.

“ Kekunci ketiga...” Ujar Dozier.
“ Zeon...” tambah Chong.
“ Plutorian, segala-galanya terungkap sudah.” Ujar Akmal sembari melangkah keluar dari kelas

No comments: