Saturday, November 29, 2008

Penanggalan

SELI dan Alai ialah dua sahabat baik yang telah berkawan sejak kecil lagi. Mereka tinggal di sebuah kawasan kampung yang mempunyai suasana aman dan damai. Kebanyakan penduduk di kampung mereka bekerja sebagai petani dan penjual hasil-hasil hutan. Disebabkan oleh kampung mereka terletak jauh di dalam hutan, kehidupan mereka agak terpisah daripada kampung-kampung lain. Jalan untuk menuju ke kampung mereka pun kelihatan agak sunyi. Jika sudah hampir waktu Maghrib, tidak ada seorang pun yang berani melalui jalan itu melainkan membawa teman. Namun bagi Seli mahupun Alai, hal itu tidak sama sekali menakutkan mereka. Arwah ayah Seli pernah berpesan kepadanya bahawa di dunia ini, manusia perlu takut kepada Tuhan sahaja dan bukan Iblis kerana Iblis itu salah satu daripada ciptaanNya juga.

Alai, aku ingin berehat sebentar. Penatlah.” Ujar Seli lalu menyandarkan badannya ke sebatang pokok tempat mereka berteduh.

“ Apa kau sudah penat? Seli, kau masih muda. Cepat betul kau rasa penat.” Balas Alai yang menyarungkan parang pendeknya ke dalam sarung.

“ Aku rasa cukup sahaja petai yang kita pungut pada hari ini. Banyak juga hasil kita.” Alai membuka sebentar guni yang sarat dipenuhi petai.

“ Kita jual sedikit dan selebihnya kita sedekahkan kepada orang kampung.” Jelas Alai. Namun Seli hanya mengangguk lemah.

Banyak benar petai yang dipungut mereka pada pagi itu. Bagi Seli, di dalam hutan memang banyak anugerah Tuhan yang belum dimanfaatkan oleh manusia lagi. Walaupun hidup mereka susah, Seli dan Alai bersyukur kerana dikurniakan kehidupan yang sederhana dan bahagia. Alai segera menyiapkan meja kecil untuk meletakkan petai. Seli pula sibuk membuka guni yang sarat berisi petai yang mereka pungut awal pagi tadi. Petai merupakan salah satu makanan yang begitu digemari oleh penduduk kampung mereka. Seli sendiri menelan air liur apabila menghidu bau sambal tumis petai yang dimasak oleh jiran rumahnya. Sudah terbayang dalam kepalanya nasi berlaukkan sambal tumis petai yang akan ditambahnya sebanyak dua pinggan. Alai pula lain halnya. Dia tidak begitu gemar memakan sambal tumis petai tetapi suka membantu Seli masuk ke hutan untuk mengutip hasil petai.

“ Wah, laku benar jualan kamu Seli, Alai. Aku bangga. Anak muda seperti kamu rajin berniaga.” Tiba-tiba Ustaz Hussin menyapa mereka.

“ Alhamdulillah Ustaz. Lagipun asalkan rezeki halal, kita pasti dapat untungnya.” Balas Alai.

Ustaz Hussin membeli 3 ikat petai pada petang itu. Seli dan Alai menarik nafas lega kerana semua petai yang dijual mereka habis bagaikan goreng pisang panas. Kebetulan pada waktu itu, sambal tumis petai merupakan lauk yang menjadi kegemaran suri rumah untuk dihidangkan kepada keluarga baik ketika makan tengah hari mahupun sajian makan malam.

“ Seli, mak nak cakap sikit dengan kamu.” Seli berhenti menjamah nasi untuk seketika. Diperhatikan benar-benar wajah ibunya itu.

“ Kini kau sudah besar, sudah cukup besar untuk mendirikan rumah tangga.”

Seli tersentak. Berkerut juga dahi pemuda itu setelah mendengar kata-kata ibunya.

“ Mak, dengan apa Seli nak beri anak bini makan mak? Mak kan tahu yang kita hidup susah.” Tingkah Seli. Ibunya terdiam seketika.

“ Mak ingin benar melihat cucu, Seli. Mak takut mak tak sempat.” Balas ibunya lagi.

“ Mak, janganlah cakap macam tu. Seli janji dengan mak, tiba masanya nanti Seli akan berumah tangga. Seli janji.” ujar Seli lalu ke dapur.

Risau benar Seli apabila memikirkan permintaan ibunya itu. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Seli sendiri memasang impian untuk berumah tangga tetapi dia sedar buat masa ini, dia tidak mampu. Sukar betul bagi Seli untuk melelapkan mata. Permintaan ibunya terlalu berat fikirnya. Namun pernah juga dia berasa cemburu apabila melihat rakan-rakannya yang sudah berumah tangga. Ada pula yang sudah menimang anak mata. Seli percaya rezeki beristeri belum lagi miliknya.

Alai, petang nanti kita pergi pungut cendawan nak? Aku dah lama tidak menjamah gulai cendawan masak lemak.” tanya Seli.

“ Boleh juga. Pagi tadi hujan. Aku rasa mesti banyak cendawan yang tumbuh. Ikut jalan mana?” ujar Alai.

“ Kita pergi ke kawasan hutan berdekatan jalan keluar ke kampung seberang. Mungkin belum ada orang jumpa tempat itu. Untung kita Alai.” Balas Seli dengan nada yang penuh yakin.

Mereka meneruskan rancangan untuk pergi mengutip cendawan. Hujan yang agak lebat pada sebelah pagi meyakinkan mereka bahawa lebih banyak cendawan yang akan tumbuh dan ini bermakna poket mereka juga turut berisi. Namun Seli memilih untuk pergi ke tempat yang agak berbeza daripada tempat yang biasa dikunjungi oleh orang kampung. Alai menurut sahaja kerana dia juga percaya yang cendawan pasti tumbuh dengan banyak dan belum ada orang yang pergi ke hutan itu. Hutan yang dimaksudkan adalah hutan yang perlu dilalui untuk keluar dari kampung mereka ke kampung seberang. Seli sudah siap dengan parang dan barang kelengkapannya manakala Alai sibuk membancuh air kopi sebagai bekal. Kopi memang berkesan untuk mengelak daripada dicengkam rasa mengantuk. Mereka bertolak dari rumah masing-masing selepas waktu Asar setelah kemas bersiap.

“ Seli, kau pernah dengar kisah penanggalan?” Tanya Alai ketika dalam perjalanan.

“ Hish..Alai, jangan cakap benda-benda macam tu. Bukankah kita berada dalam hutan ni.” Pintas Seli sambil melibas-libas semak yang menggangu perjalanan mereka berdua.

“ Aku cuma tanya kau sahaja.”

“ Pernah. Itupun aku dengar daripada cakap-cakap orang. Ada orang cakap itu hantu. Ada pula yang cakap itu belaan orang.” Ujar Seli sambil memperbetulkan beg galasnya.

“ Kau tahu tak macam mana rupanya?” tanya Alai lagi.

Alai menceritakan kepada Seli tentang penanggalan, hantu yang berupa kepala manusia yang tidak mempunyai badan dan hanya jantung serta tali perutnya bergelantungan. Berdiri juga bulu roma Seli dibuatnya. Mereka akhirnya tiba di tempat tersebut. Memang benar sangkaan mereka, banyak cendawan yang tumbuh. Dengan perasaan gembira, Seli dan Alai memungut cendawan yang tumbuh satu per satu sehingga guni kecil yang mereka bawa agak penuh. Kegembiraan memungut cendawan menyebabkan mereka tidak sedar mereka sudah berada di dalam hutan untuk satu jangka masa yang lama. Sinaran mentari sudah mula kelam. Alai mengarahkan Seli agar cepat berkemas. Ini adalah kerana Alai bimbang sudah masuk waktu Maghrib. Dalam perjalanan pulang, Seli berasa hairan apabila terhidu bau yang sungguh harum. Dia menjengah sebentar ke kiri dan ke kanan jalan. Dia menanya Alai tentang bau itu namun Alai terus melenting.

“ Jangan tegur Seli. Jalan sahaja.” Tegas Alai. Alai sememangnya kurang senang setelah mendengar pertanyaan Seli itu.

Tiba-tiba, Seli terlihat seorang gadis duduk di atas sebatang pohon kelapa yang tumbang di kiri bahu jalan. Alai dan Seli berhenti seketika dan menanya gadis itu. Gadis itu diam sahaja.

“ Cik, cik ni dari mana dan hendak ke mana?” tanya Alai.

Alai, gadis ini bisu agaknya.” Ujar Seli.

“ Saya sesat. Saya hendak ke kampung Dagang. Saya dari kampung seberang.” Jelas gadis itu. Barulah gadis itu mula bersuara.

“ Oh, cik boleh ikut kami. Kebetulan kami penduduk kampung itu.” jawab Seli.

“ Terima kasih abang berdua.” Balas gadis itu lagi lalu bingkas bangun mengikuti mereka.

Mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali menunjukkan kepada gadis jalan ke kampung mereka. Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Munirah. Begitu manis sekali wajahnya. Seli tidak putus-putus memandang gadis itu. Seli begitu tertarik dengan kecantikan Munirah. Hampir setiap masa Seli mencuri-curi memandang keayuan gadis yang bernama Munirah itu. Mereka sampai di kampung lewat waktu Maghrib. Seli dan Alai terfikir seketika, di manakah destinasi sebenar Munirah? Di manakah Munirah menumpang tidur ? dan yang paling penting sekali, di rumah siapa pula gadis itu akan tidur? Pelbagai soalan menerjah minda kedua-dua pemuda itu. Alai meminta Seli agar membenarkan Munirah tidur di rumah Seli kerana Seli hanya tinggal berdua dengan ibunya. Alai mempunyai ramai adik beradik dan masalah bilik akan timbul jika Munirah menumpang tidur di rumahnya. Dengan segera, Seli terus bersetuju. Lagipun ibunya akan mempunyai teman untuk berbual walaupun untuk seketika. Ketika memasuki halaman rumah, ramai pemuda kampung mengusik Seli. Ada yang berkata bahawa Seli membawa balik bakal isteri. Ibunya terkejut dengan kepulangan Seli dengan seorang gadis bersamanya. Ibunya cukup tertarik dengan keayuan yang dimiliki Munirah. Seli memperkenalkan Munirah kepada ibunya dan ternyata ibu Seli berasa gembira sekali walaupun agak terkejut pada mulanya.

“ Nak, siapa ibumu?” tanya ibu Seli pada awal pagi itu.

“ Ibu saya bernama Saerah.” Balas Munirah ringkas.

“ Saerah? Tidak mengapa, nanti petang esok Seli akan menghantarmu pulang.” Ujar ibu Seli.

Munirah menggeleng, dia menjelaskan keadaannya sebagai sebatang kara. Ibunya telah meninggal dunia setahun yang lalu. Oleh itu, Munirah cuba untuk keluar dari kampung Dagang dan mencari mana-mana saudaranya yang masih hidup. Asyik mendengar kisah Munirah, ibu Seli tidak pernah pula bertanya bagaimana Munirah boleh sesat pada waktu Maghrib di dalam hutan. Kehidupan Seli bertambah baik dengan kehadiran gadis itu. Munirah membantu ibu Seli dengan kerja-kerja rumah. Lama-kelamaan, segala persoalan yang bermain di hati ibu Seli terpadam. Seli semakin hari semakin gembira. Alai hairan dengan perubahan Seli. Sebelum ini, belum pernah dia melihat Seli segembira itu. Mungkin disebabkan oleh kehadiran Munirah, dia bersikap sedemikian fikirnya.

“ Seli, Munirah tu cantiklah.” Sampuk Alai ketika memunggah hasil hutan ke atas meja.

“ Dia memang cantik Alai. Aku tertarik dengan dia. Cuma aku takut.” Ujar Seli.

“ Takut apa ?” Tanya Alai kehairanan.

“ Aku takut nak meluahkan perasaan aku kepadanya.” balas Seli.

Alai ketawa terbahak-bahak. Rupa-rupanya Seli menaruh perasaan kepada Munirah. Alai sudah dapat mengagak kerana Seli begitu mengambil berat tentang Munirah. Dalam setiap perbualannya dengan Seli, pasti terselit dengan nama gadis manis itu. Kini hampir tiga bulan lamanya Munirah tinggal di rumah Seli. Ramai orang kampung mula bercerita tentang kewujudan Munirah. Ada yang berasa kurang senang dengan kewujudan Munirah terutamanya gadis-gadis di kampung itu. Mereka berasa Munirah adalah saingan mereka kerana lelaki lebih tertarik dengan kejelitaan miliknya. Ada juga berita pedas yang mengatakan Seli menyimpan anak dara orang. Pelbagai cerita-cerita yang tidak benar tersebar luas di serata kampung. Alai menasihati Seli agar segera bertindak kerana ibunya sudah tua dan cerita-cerita seperti itu harus dihentikan.

“ Kahwin dengan Munirah ?” ujar Seli dengan terkejut.

“ Ya, kahwin. Itu sahaja cara yang dapat menutup mulut orang kampung.” Balas Alai.

“ Tapi, mahukah dia ? Aku tidak mampu untuk menyara hidupnya Alai. Kerja aku kau pun tahu bukan? Keluar masuk hutan.” Jelas Seli lagi.

“ Itu soal nombor dua. Kau mahu ibu kau susah hati mendengar cerita orang kampung itu ?” soal Alai sambil meneguk secawan kopi yang dihidang Seli.

Alai memujuk agar Seli berkahwin dengan Munirah. Jauh di sudut hatinya, betapa beruntungnya Seli kerana dapat berkahwin dengan gadis secantik Munirah, gadis yang digilai pemuda-pemuda kampung. Pada malam itu, Seli berbincang dengan ibunya tentang hasrat hatinya untuk beristerikan Munirah. Ibu Seli terkejut tetapi kemudian tersenyum. Dipanggilnya Munirah ke ruang tamu.

“ Munirah, ibu sudah tua. Kamu dan Seli juga sudah besar. Apa kamu mahu menjadi isteri kepada Seli anak ibu ?” jelas ibu Seli. Munirah tertunduk diam tetapi mukanya mula kemerah-merahan.

“ Munirah, sudikah awak menjadi isteri saya ?” Seli memegang lembut tangan Munirah. Matanya tidak berganjak daripada merenung jauh ke dalam mata Munirah.

“ Kalau baik bagi ibu, baiklah bagi Munirah..” Jawab Munirah lalu melangkah ke dalam biliknya.

“ Alhamdulillah..” Ujar ibu Seli lagi.

Akhirnya Seli selamat diijab kabul dengan isterinya, Munirah. Ramai juga yang hadir ketika majlis perkahwinan Seli yang diadakan secara sederhana. Alai begitu sibuk sekali membantu majlis. Ramai pemuda kampung tidak menghadiri majlis itu kerana beranggapan Seli telah menghancurkan peluang mereka untuk memiliki Munirah. Seli memandang manja wajah isterinya ketika bersanding. Cukup ayu sekali. Kini Munirah sudah sah bergelar isteri kepada Seli. Satu pertemuan yang tidak diduga. Sesiapapun tidak pernah bertanya tentang asal usul Munirah termasuk Seli sendiri. Dia tidak menyoal latar belakang isterinya kerana apa yang penting, dia sudah mempunyai tanggungjawab iaitu, menjaga ibu dan juga menjaga isterinya. Seli menjalankan kerja-kerja seperti biasa, menemani Alai ke hutan untuk memungut hasil-hasil hutan. Sejak mendirikan rumah tangga, Seli semakin bersemangat untuk berkerja.

“ Orang dah ada bini.” Gurau Alai

“ Ha, Kau tu bila lagi ?” jawab Seli sambil tersenyum.

Munirah sudah menanti kepulangan Seli di depan pintu rumah. Seli menyandarkan badannya ke kerusi. Sebentar kemudian Munirah datang dengan membawa sepinggan goreng pisang dan secawan kopi.

“ Ibu mana Munirah ?” Soal Seli.

“ Entahlah bang, mungkin ke bawah rumah barangkali.” Jawab Munirah ringkas.

Setelah menghabiskan goreng pisang yang dihidang oleh Munirah, Seli segera ke kamar tidur. Penat benar badannya pada petang itu. Pada malam itu, ketika Seli hendak menutup pintu rumah, kedengaran bunyi aneh di atas alang rumahnya. Hatinya ingin sekali menyiasat bunyi aneh itu. Seakan-akan bunyi kulit kerbau disiat. Dengan tidak semena-mena bulu roma Seli berdiri tegak lalu lekas beredar ke dalam kamar tidurnya. Entah apa yang menganggu Seli pada malam itu. Dia tidak dapat melelapkan matanya langsung. Setelah beberapa jam cuba melelapkan matanya, Seli berasa hairan, Munirah tidak ada di sebelahnya. Puas Seli mencari isterinya di dalam bilik itu namun Munirah masih juga tidak kelihatan. Seli memberanikan diri untuk keluar ke ruang tamu rumah. Suasana pada malam itu sungguh sejuk sekali. Masih juga tidak ada kelibat isterinya. Tiba-tiba Seli terdengar bunyi berderap, seakan-akan bunyi ranting patah jatuh ke atas atap rumah. Seli terpegun sebentar. Perasaan ingin tahunya lalu hilang sama sekali. Perasaan takut mula menguasai dirinya. Seli mati akal pada ketika itu. Di manakah Munirah ? Apa yang dibuatnya pada tengah-tengah malam sebegini ? Seli semakin takut untuk melangkah ke luar rumah. Pelbagai andaian bermain di dalam kepalanya. Manalah tahu, kalau-kalau iblis dan syaitan mengganggunya ketika itu. Ketika mahu melangkah keluar rumah, sepasang tangan menyapa Seli dari belakang. Dengan serta merta Seli melompat akibat terlalu terkejut.

“ Apa yang abang buat ni ? Belum tidur lagi ke ?” tanya Munirah

“ Eh, Munirah. Abang…abang..” jawab Seli tersangkut-sangkut.

“ Jom, temankan Munirah masuk ke bilik bang.” Jelas Munirah memotong kata-kata Seli.

Seli tidak pula menanya ke mana perginya Munirah pada malam itu. Awal benar Seli bangun pada pagi itu. Munirah dilihatnya masih lena dibuai mimpi indah. Dikucupnya dahi isteri yang tercinta. Seli turun ke bawah rumah untuk mengambil kayu api. Ibunya masih lagi tidur. Alangkah terkejutnya Seli apabila melihat tompokan darah yang begitu banyak di belakang rumah. Tompokan darah tersebut menjalar naik ke atas di bahagian belakang dinding rumah.

“ Astargfirullahalazim.” Seli mengucap panjang.

“ Siapa punya kerja ni ?” Getus hati kecilnya.

Seli segera membersih tompokan darah yang berada di sekitar rumah dan di dinding. Puas Seli berfikir, siapakah yang terlalu keji untuk berbuat sedemikian. Mujur ibunya tidak mengetahui peristiwa itu. Munirah tiba-tiba muncul di pintu belakang rumah. Mukanya masam dan seolah-olah marah atas tindakan Seli membersih tompokan darah itu. Seli hairan dengan perubahan Munirah. Munirah jarang keluar rumah pada waktu siang. Jika ditanya mengapa, pasti dijawabnya panas. Munirah juga sering tidur lewat dan sering pergi ke bilik air lewat malam. Sejak ibunya meninggal, pelik benar perangai Munirah belakangan ini. Munirah juga gemar berkunjung ke rumah jiran-jiran kampung yang baru melahirkan anak. Seli kadang-kadang berasa bangga kerana Munirah selalu membantu jirannya. Tapi kelakuannya bila tiba tengah malam amat aneh. Seli tidak gemar untuk menunggu lama oleh itu, dia sering tidur awal daripada Munirah. Munirah akan kembali ke bilik tidur selewat-lewat jam 2 pagi. Alasannya tetap sama, pergi ke bilik air.

“ Abang, kak Milah akan sedang sarat mengandung. Nanti Munirah pergi tengok-tengokkan kak Milah.” Ujar Munirah.

“ Eloklah Munirah. Abang suka Munirah tolong orang kampung.” Balas Seli sambil menjamah nasi yang dihidangkan oleh isterinya.

Kak Milah isteri bang Mail sudah hampir bersalin. Perutnya begitu besar sekali menandakan anaknya mungkin pasangan kembar. Bidan Mah telah bersedia untuk menyambut bayi yang akan lahir. Tiba-tiba bunyi berderap kedengaran dari atap rumah. Bidan Mah dan bang Mail terkejut tetapi bidan Mah tetap meneruskan kerja-kerja membidan kak Milah. Bunyi tangisan bayi memecah kesunyian malam itu. Bang Mail hairan, perkarangan rumahnya berbau sungguh hanyir. Sejurus selepas itu, bang Mail terdengar jeritan bidan Mah.

“ Mail!! Lekas!!” Jerit bidan Mah.

Bang Mail melompat garang ke dalam rumah lalu segera mendapatkan bidan Mah dan isterinya. Alangkah terkejutnya bang Mail apabila melihat seakan-akan kepala manusia berambut panjang sedang menjilat darah yang tumpah ketika kak Milah melahirkan anaknya. Lidahnya panjang sekali, menjilat tompokan darah di atas lantai dengan rakus. Bidan Mah mengucap panjang. Kak Milah memeluk erat bayinya. Bang Mail mencapai sebatang penyapu dan ingin memukul kepala itu tetapi dihalang oleh bidan Mah.

“ Jangan, itu penanggalan, biarkan ia habis. Jika tidak, ia akan mengganggu kamu.” Pesan bidan Mah.

Bang Mail membiarkan sahaja kepala itu menjilat darah yang tertumpah di atas lantai. Setelah habis, barulah bang Mail dapat melihat rupa sebenar kepala terbang itu. Rupanya sungguh mengerikan. Ada parut halus di bawah mata kirinya. Lidahnya masih lagi menjelir dan matanya terjegil. Kepala tersebut lalu keluar menerusi tingkap yang terbuka. Pada pagi itu, heboh diceritakan tentang kepala terbang yang mengganggu kelahiran anak bang Mail. Seluruh kampung sibuk bercerita tentang hantu kepala terbang, penanggalan. Penanggalan wujud, itulah yang sering diperkatakan orang kampung. Seli tidak mengetahui apa-apa tentang kejadian di rumah bang Mail sehinggalah diberitahu oleh sahabat baiknya Alai. Seli teringat semula kata-kata Alai ketika memungut cendawan. Legenda penanggalan. Memang wujud fikirnya. Munirah lambat bangun pada pagi itu. Seli pergi mengejutkan isterinya. Seli hairan terdapat kesan-kesan darah pada baju Munirah. Munirah terjaga lalu mengucapkan selamat pagi kepada Seli. Seli bertanya tentang kesan darah yang terdapat pada bajunya. Munirah menjawab datang bulan. Seli lalu terdiam kerana malu. Lantas Seli segera keluar bilik.

Kisah gangguan penanggalan semakin menjadi-jadi. Dulu kak Milah yang menjadi mangsa. Kini giliran Esah, isteri Rosman. Kepala terbang masuk ke dalam biliknya menerusi tingkap yang seakan-akan terbuka dengan sendirinya lalu menjilat dengan rakus darah yang tertumpah. Rosman sendiri hampir terkencing apabila melihat wajah lembaga yang amat menakutkan itu. Orang kampung kini berada dalam ketakutan. Sesiapa yang hamil dan sarat mengandung pada ketika itu, boleh mengundang kehadiran penanggalan.

“ Syaitan dan iblis memang tidak pernah berhenti menyesatkan manusia.” gerutu Ustaz Hussin. Serban putih yang hampir terlerai ikatan diikatnya semula.

Ustaz Hussin mencadangkan agar rondaan diadakan, untuk memastikan keselamatan kampung. Ketika mereka meronda-ronda kawasan kampung pada waktu malam, Alai telah melihat dengan mata kepalanya sendiri, kepala terbang keluar daripada tingkap rumah Seli lalu menghilang ke dalam hutan. Namun, Alai tidak berani untuk memberitahu sesiapapun tentang perkara itu. Alai cuba memberitahu Seli tentang apa yang dilihatnya pada malam semalam tetapi malangnya Seli hanya menggeleng dan ketawa kecil. Seli menganggap Alai mengantuk barangkali namun Alai bersungguh-sungguh meyakinkan Seli. Kecewa dengan reaksi Seli, Alai beredar setelah memberi peringatan kepada Seli. Munirah sudah hampir 9 bulan mengandung. Bila-bila masa sahaja dia melahirkan anak. Seli bimbang kalau-kalau penanggalan mengganggu mereka. Bidan Mah dipanggil. Begitu juga dengan Ustaz Hussin dan Alai. Mereka bersedia untuk menyambut kelahiran anak Seli dan juga kehadiran penanggalan. Tetapi aneh, tiada pula penanggalan hadir pada malam itu tetapi bidan Mah hairan, Munirah tidak membenarkannya memegang bayinya yang baru lahir. Dia mengarahkan bidan Mah keluar dari bilik dan membersihkan bayinya sendiri.

“ Aku dah agak dah.” Ujar Ustaz Hussin tetapi Seli tidak faham maksud Ustaz Hussin itu.

Setelah selesai, Seli memberikan sedikit saguhati kepada bidan Mah. Seli gembira anaknya selamat dilahirkan. Munirah kelihatan agak lemah tapi tersenyum. Mata Seli terpaku melihat bibir dan dagu Munirah yang berdarah. Seli membersihkan bilik itu. Orang kampung berasa hairan penanggalan tidak mengganggu kelahiran anak Seli. Apabila Maimon isteri Jalil hendak melahirkan anak, Jalil meminta bantuan Ustaz Hussin dan orang kampung. Seperti biasa, Munirah tiada di rumah.

“ Mana ada Munirah Seli. Bidan Mah sahaja yang membantu.” Tegas Alai ketika singgah sebentar ke rumah Seli.

“ Apa !? Habis, selama ini apa yang dibuatnya ?” ujar Seli tidak percaya.

Alai menceritakan segala-galanya tentang Munirah. Seli terkejut tetapi Seli masih tidak percaya. Alai segera mengarahkan Seli ke bilik bawah rumah. Dengan perasaan takut bercampur ingin tahu, mereka berdua membuka bilik itu. alangkah terkejutnya Seli apabila melihat sekujur tubuh tidak berkepala di dalamnya.

“ Itu tubuh Munirah!” bentak Seli.

Seli mengucap panjang. Rupanya-rupanya Munirah bukan seorang manusia tetapi penanggalan, hantu yang sering diperkatakan oleh orang kampung selama ini. Seli mengangkat tubuh isterinya itu ke atas rumah. Setelah itu, Alai datang semula dengan Ustaz Hussin. Ustaz Hussin membacakan sesuatu dan memberikan barang-barang berupa duri pohon limau, beberapa ulas bawang putih dan beberapa biji lada sulah.

“ Kamu masukkan barang-barang ni dalam bahagian leher isteri kamu itu, nescaya kepalanya akan sukar untuk bercantum semula dengan tubuh. Dan kemudian kita tanam tubuh isteri kamu sebentar saja lagi. Seli, Munirah kamu sebenarnya telah lama meninggal dunia. Cuma ini adalah kerja iblis. Syaitan laknatullah.” Jelas Ustaz Hussin.

Seli membuat seperti yang diarahkan Ustaz Hussin. Setelah itu, mereka bertiga menunggu sehingga Munirah balik. Memang benar, kepala yang terbang itu adalah kepala Munirah. Seli mengintai dari lubang pintu. Hampir tersirap darahnya apabila melihat wajah isterinya yang begitu mengerikan. Penanggalan itu beberapa kali cuba mencantumkan kepala dengan tubuhnya tetapi gagal.

“ Kerja siapa ni!!?” gertak penanggalan.

“ Hussin..! berani kau ya??” ujarnya lagi.

“ Kau datang lagi. Munirah pula kau jadikan mangsa. Mengapa kau hancurkan hidup Seli?” tanya Ustaz Hussin ke arah penanggalan itu.

“ Aku lapar. Sudah lama aku tidak makan!” jelas penanggalan itu. Matanya sudah merah menyala. Seli ketakutan, anaknya dipeluk erat-erat.

“ Seli, kembalikan anakku!!”

“ Bukan. Ini bukan anakmu, dia manusia. Kau kembalilah ke alam kau Munirah.” Ujar Seli sayu.

“ Seli!!! Aku akan kerjakan kau..jangan ingat aku akan lepaskan kamu semua. Itu anak aku!!” bentak penanggalan.

Ustaz Hussin membacakan sesuatu. Dia memicit lada hitam ke atas bawang putih. Serta-merta penanggalan menjerit kepanasan. Lalu merayu kepada Ustaz Hussin supaya berhenti.

“ Munirah, kau bukan lagi berada di alam ini, bersemadilah kau di alam sana.” Jelas Ustaz Hussin.

“ Seli..anakku..”

“ Munirah, aku akan jaga anak kita. Jangan ganggu kami lagi Munirah.” Pinta Seli.

Penanggalan terbang keluar dari tingkap rumah Seli. Alai, Ustaz Hussin dan Seli menarik nafas lega. Seli melihat wajah anaknya, kasihan, kecil-kecil sudah kehilangan belaian kasih ibu. Seli menitiskan air mata. Teringatkan Munirah, gadis yang pernah menjadi isteri dan juga penanggalan yang amat takutinya.

“ Munirah, janganlah kau mengganggu kehidupan kami berdua ya.” Ujar Seli setelah menyiram pusara Munirah

1 comment:

Yumida said...

richie...umi tok..ingat x yg praktikal kt TM lok

follow sitok