Monday, June 15, 2009

Aku

PERTAMA

AKU masih ingat betapa nakalnya aku ketika kanak-kanak. Kenakalanku bermula ketika aku memulakan pengajianku di tadika aliran Bahasa Cina Morning Bell Miri. Masih lagi segar di ingatanku apabila aku tidak sengaja telah melontar sebiji telur ayam tepat ke muka Puan Chai. Aku hanya ingin mengenakan Haffiz, sahabatku tetapi terkena Puan Chai pula. Hukuman? Berbirat tangan kiriku dipentung olehnya. Entah mengapa aku rasakan pukulan rotannya begitu kuat tetapi aku sedar aku sememangnya nakal pada ketika itu. Aku menghabiskan dua tahun bersekolah di tadika itu kerana aku mula memasuki tadika tersebut apabila aku berumur 5 tahun. Abang aku yang sulung turut belajar di tadika yang sama 3 tahun sebelumnya tetapi kata ibuku, aku sungguh berbeza sekali dengan abang. Kata ibu, aku dengan perasaan gembira menyuruh ibuku pulang setiap kali selepas menghantarku ke tadika. Berlainan dengan abang yang meronta-ronta ingin mengikuti ibuku balik. Ketika itu, bibir abang sudah mula menjebik apabila ditinggalkan oleh ibu. Bukannya apa, aku senang bermain dengan rakan-rakan tanpa dilihat oleh ibu. Tadika Cina Morning Bell adalah sebuah tadika yang menggunakan Bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantarnya. Walaupun tadika Morning Bell merupakan sebuah tadika Cina, pelajar-pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Itulah yang menjadikan tadika ini sebuah tadika yang unik pada ketika itu. Ada yang berbangsa Melayu, ada yang berbangsa Iban malah ada yang berbangsa Kayan. Tidak kurang juga pelajar yang berbangsa Kedayan. Namun majoritinya berbangsa Cina. Tadika ini sebenarnya terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari rumahku. Aku kian mengerti apabila menganjak dari umur 4 ke 5 tahun, aku sudah mula menanam minat untuk ke sekolah. Di tadika Morning Belllah aku mula belajar mempunyai kawan. Aku mula pandai bergaul dengan rakan-rakan sebayaku. Bertutur dalam bahasa yang sama, bermain bersama-sama, makan bersama-sama dan belajar bersama-sama. Itulah perkara lazim yang dilakukan oleh anak-anak berumur 5 dan 6 tahun. Aku pun tidak terkecuali. Apa yang aku tahu, selepas selesai membuat kerja yang diberikan oleh cikgu, kedudukanku pasti berengsot. Kerana sudah gatal jari jemariku untuk bermain dengan kawan-kawan. Di sinilah juga tempatnya aku menemui sahabat karibku sepanjang zaman iaitu Haffiz, Dozier dan Siti Nabilah. Haffiz merupakan pelajar kacukan Melayu dan Iban manaka Dozier pula berbangsa Iban. Siti Nabilah pula pelajar berbangsa Melayu. Aku? Aku berasa sungguh rumit sekiranya aku ceritakan di sini tentang siapa diriku. Kata ayah, nendaku berbangsa Inggeris di sebelah lelaki dan Melanau di sebelah nenda perempuan. Di sebelah ibu pula, arwah datuk sebelah ibu berketurunan Iban Melayu manakala Melayu di sebelah ibunya. Hinggakan aku sendiri menjadi kurang pasti apa sebenarnya darah yang mengalir dalam tubuhku ini.

Kami berempat selalu keluar bermain bersama-sama di sekitar kawasan sekolah. Aku masih ingat lagi di depan bangunan utama tadika terdapat taman permainan yang mempunyai jongkang-jongket yang besar. Di situlah aku sering menghabiskan masaku bermain bersama-sama kawan. Pernah sekali aku terjatuh semasa bermain jongkang-jongket bersama kawan-kawan. Berpinar seketika kepalaku ketika itu. Masa seakan-akan tertegun seketika. Tubuh kecilku terpelanting jauh ke sebelah kiri sudut taman. Habis terpalit tanah kuning di baju dan seluarku. Apa yang aku lihat, segerombolan manusia mengelilingiku. Ada lapan orang semuanya. Dengan pandangan yang masih kabur, aku cuba gagahkan diri untuk bangun. Aku sempat melihat Dozier dan Haffiz yang ketika itu terpinga-pinga melihat keadaanku. Terbaring lemah di atas tanah. Tetapi tanpa kusedari, Puan Chai sudahpun mengangkat tubuhku lalu menuju ke bilik Guru Besar. Apabila tiba waktu rehat, akulah insan yang paling gembira. Sekiranya waktu rehat tiba, aku bersama Dozier dan Haffiz akan membeli mi goreng yang dijual dalam bentuk bungkusan-bungkusan kecil. Sebungkus mi goreng itu kalau tidak silap aku cuma berharga 20sen. Tahun 1991 ketika itu, harga makanan memang murah. Tetapi tidak lagi kini. Keadaan memborgol begitu cepat. Apa yang pasti, kami bertiga amat gemarkan mi goreng itu. Aku pasti membeli sehingga 3 bungkus untuk mengalas perutku yang lapar setiap kali tiba waktu rehat. Sedapnya mi goreng itu tidak terkira. Masakan tidak, mi tersebut akan habis dijual dalam masa 10 minit sahaja. Pelajar-pelajar lain memang berasak-asak untuk mendapatkan mi goreng istimewa itu. Namun, baru kini aku terdetik untuk mempersoalkan satu perkara. Sepanjang pembelajaranku di tadika Morning Bell, tidak pernah pula aku bertanya tentang penyediaan mi itu. Halalkah? Pada ketika itu, siapalah aku untuk mengetahui soal halal dan haram. Pemikiran budak-budak tadika. Apa yang nampak menyelerakan, itulah yang akan ditelan. Wallahualam. Dua tahun aku belajar di tadika ini dan aku sendiri berasa hairan pada ketika itu mudah sekali bagiku untuk memahami Bahasa Mandarin. Jujur aku akui, ketika umurku 6 tahun, aku sudah mampu menuturkan beberapa perkataan dalam Bahasa Mandarin. Kami berempat juga selalu berbual menggunakan bahasa itu ketika di dalam tadika. Tetapi jika ditanya kini, malangnya aku hanya menggeleng. Setelah tamat pembelajaranku di tadika itu, aku memasuki alam persekolahan rendah di Sekolah Rendah Kerajaan Anchi, 1992.

KEDUA

KENAKALANKU mula berkurangan setelah memasuki tahun 1. Setelah tamat zaman tadika, aku kemudian dimasukkan ke dalam Sekolah Rendah Kerajaan Anchi, sekolah rendah yang terletak di kawasan perumahan Piasau Fasa II, Miri. Malang sekali aku tidak lagi boleh berbahasa Mandarin di sekolah ini memandangkan Bahasa Malaysia digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar. Namun, aku melonjak keriangan serta merta apabila melihat sahabat baikku, Dozier dan Haffiz yang juga sekelas denganku ketika itu. Aku sudah mampu untuk mengukirkan senyuman yang selebar yang boleh. Aku sudah mempunyai Dozier dan Haffiz yang ada di sisiku. Apa yang terlintas di dalam fikiranku ketika itu, hanyalah main dan bermain. Tetapi aku masih tercari-cari di manakah Siti Nabilah pada waktu itu. Di kelas manakah dia diletakkan? Hanya terdapat 3 buah kelas sahaja yang ada ketika itu. Kelas 1 Merah, 1 Kuning dan 1 Hijau. Siapa yang duduk dalam kelas Merah? Sudah tentunya pelajar-pelajar yang melakarkan keputusan yang baik ketika di tadika. Aku, Dozier dan Haffiz dimasukkan ke dalam kelas 1 Kuning. Aku melangkah keluar dari kelas dan berjalan menuju ke kelas sebelah. Masih juga tidak terlihat di mataku kelibat Siti Nabilah. Kemudian kami bertiga dikejutkan dengan suara yang amat ku kenali

“ Hoi! Aku kelas 1 Hijaulah..” Nabilah hanya tersengih-sengih.

Aku tersenyum kembali. Syukurlah kerana keempat-empat kawan karibku berada di dalam sekolah yang sama. Walaupun Siti Nabilah dimasukkan ke kelas 1 Hijau. Ada juga rakanku yang masuk ke Sekolah Rendah Kerajaan Lutong, dan tidak kurang juga yang menyambung persekolahan rendah ke Sekolah Rendah Kerajaan Bintang, Sekolah Rendah Kerajaan Sayed Othman dan Sekolah Rendah Kerajaan St Columbus. Aku sudah menganjak dari usiaku 6 tahun ke 7 tahun. Aku sudah bergelar murid tahun satu. Pakaianku turut berubah. Bukan lagi seluar pendek berwarna biru tua. Kini aku segak berbaju putih, dan berseluar panjang berwarna ungu. Ibuku lebih gemar melihat aku memakai seluar panjang. Begitu juga dengana abangku. Dia sudah memasuki tahun 3 ketika itu. Kelas 3 Merah. Kata Haffiz, abang aku orang pandai. Namun aku tidak percaya. Di rumah, jarang sekali kulihat abang membuka buku dan mengulangkaji pelajarannya. Hidupku mula berubah sejak berada di dalam kelas 1 Merah. Namun pernah juga kulihat abang pergi mengambil hadiah ketika perhimpunan minggu sekolah. Walaupun aku kurang faham situasi sebenar ketika itu, aku juga tidak terlepas daripada perasaan cemburu apabila melihat murid-murid lain tampil ke hadapan dan menerima hadiah yang dibungkus dengan menggunakan kertas brown paper. Sepanjang berada di dalam tahun satu, aku mula mengumpulkan ramai kawan-kawan baru. Aku berkenalan dengan Ewan, Delan, Dayang Hilfiee, Josephine, Roselind dan ramai lagi yang tidak mampu ku sebutkan semua di sini.


bersambung..

No comments: