Friday, June 13, 2008

Lagenda Saruyong

SARUYONG

SAGAI dan Sigan adalah dua adik beradik yang begitu berani menghadapi cabaran. Apa jua halangan yang menimpa mereka, dengan bersemangat mereka mengharunginya. Sagai merupakan anak yang sulung dan Sigan pula adik yang bongsu. Dalam keluarga mereka, Sagai dan Siganlah yang rajin pergi jauh ke dalam hutan rimba untuk memungut hasil hutan dan berburu. Dalam rumah panjang yang mereka diami, Sagailah yang selalu membawa pulang hasil buruan yang besar seperti khinzir hutan atau rusa. Kemahiran berburu Sagai memang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemuda di dalam rumah panjang. Sigan pula seorang yang agak pendiam dan kurang berkata-kata berbanding Sagai. Keberanian dan kejayaan milik Sagai sering menjadikannya angkuh. Ramai pemuda lain tidak gemar bergaul dengan Sagai kerana Sagai suka memperkecilkan kebolehan seseorang. Ramai golongan tua di dalam rumah panjang amat suka dengan keberanian Sagai dan ingin mengambil Sagai sebagai menantu. Ini menjadikan Sagai lebih riak dan sombong. Sigan seringkali menasihati abangnya agar berubah tetapi sia-sia. Sigan sendiri pernah dimarahi abangnya itu kerana tidak mahu mengikutinya berburu di hutan. Umur Sigan dan Sagai tidak jauh bezanya cuma Sagai 4 tahun lebih tua.

“ Aku mahu makan rusa malam ini. Kau ikut aku. Kita pergi selepas matahari terbenam.” Ujar Sagai ketika melabuhkan punggungnya di serambi.

“ Bukankah kita sudah pergi dua hari yang lepas. Kita berehat saja. Lusa boleh kita pergi Sagai.” Jawab Sigan yang kurang bersetuju.

“ Aku tidak menyangka adik aku seorang yang pengecut.” Tingkah Sagai. Suaranya mula meninggi.

“ Aku bukan pengecut Sagai. Aku penat.”

“ Penat atau takut? Sudah. Aku akan pergi seorang diri. Pengecut!”

Sigan diam sahaja. Mukanya mula merah padam. Sagai mentertawakannya di depan golongan tua ketika duduk berehat di ruang serambi. Bukan main malu lagi Sigan apabila Sagai menuduhnya pengecut. Sigan segera bangkit daripada duduk lalu turun ke bawah rumah. Dia menggapai sebilah parang panjang miliknya.

“ Aku akan buktikan yang aku bukan pengecut Sagai.” Getus hati kecilnya.

Sigan mengasah parangnya tajam. Cukup tajam. Adakalanya Sigan mengacungkan parangnya ke udara dan melibas-libas parang yang mempunyai hulu berukir kemas itu. Marak benar hatinya akibat mendengar tohmahan Sagai.

“ Kau pergi lagi malam ini Sagai ?”

“ Tidak lama Bulan. Aku akan lekas balik.” Balas Sagai. Dia mengusap manja wajah gadis kesayangannya itu.

“ Aku sudah menunggu lama Sagai. Apa kau tidak suka padaku ?”

Sagai memberhentikan langkahnya. Dia teringat janjinya kepada Bulan.

“ Bulan, aku janji. Selepas aku pergi memburu ini nanti, hasilnya akan kubuat pesta di rumah panjang kita. Kemudian kita akan uruskan perkahwinan kita. Aku mencintaimu Bulan.” Jelas Sagai lagi.

Tiba-tiba rumah panjang menjadi huru-hara. Sigan berlari ke depan rumah. Sagai melompat garang dari anjung. Kedengaran bunyi haiwan peliharaan yang agak bising dari kandang. Rupa-rupanya mereka dikunjungi pelawat.

“ Aku Linggau. Kami datang dari bahagian utara.” Ujar lelaki yang menggelarkan dirinya Linggau itu.

“ Kami mohon untuk berehat di rumah kalian kerana kami ingin meneruskan perjalanan kami ke timur.” Tambahnya lagi.

“ Kami menyambut kedatangan kalian dengan hati yang terbuka.” Tegas Sagai sejurus memperkenalkan dirinya.

Linggau mengarahkan rakan-rakannya, Ungga dan Balan duduk berehat. Mereka meletakkan peralatan mereka ke tanah dan duduk berehat sebentar di kawasan perkarangan rumah panjang. Sagai tertarik kepada hulu parang milik Linggau. Begitu unik sekali. Sigan memerhati dari jarak jauh. Dia kembali ke bawah rumah untuk mengasah parangnya.

“ Linggau, ini airnya. Jemput minum ya.” Ujar Sagai.

Bulan menghidangkan air minuman kepada mereka. Sagai hairan dengan telatah Bulan. Bulan tidak menyangka Sagai memerhatinya. Sagai menjeling mata Bulan seolah-olah memberi amaran.

“ Siapa tuai rumah ?” Tanya Lingga.

“ Singgi. Kau dari rumah mana ?”

“ Aku dari rumah panjang Trusan, Sagai.” Balas Linggau sambil memuji air yang dihidang kepadanya sedap-sedap belaka.

“ Mengapa kau ke timur? Bukankah jauh untuk pergi ke timur?” Soal Sagai kehairanan.

“ Kami bertiga pergi memburu. Dan kami mendapat tahu di timur terdapat rusa yang besar-besar.” Hurai Linggau.

“ Ya, besar-besar. Kami pernah dapat seekor dahulu.” Tambah Ungga.

Sagai semakin tertarik setelah mendengar perkataan besar-besar itu.

“ Boleh aku pergi bersama kamu ? Aku juga meminati perburuan. Sebenarnya aku hendak bertolak ke hutan malam ini untuk memasang umpan. Ah, kebetulan sekali.” Ujar Sagai. Benar-benar dia gembira.

“ Tidak menjadi masalah buat kami Sagai. Aku dengar kau seorang yang digeruni di sini. Kami akan lebih bertuah jika kau ikut serta.” Balas Linggau.

“ Sigan adikku akan ikut sama. Maka kita akan pergi berlima.”

“ Itu sudah cukup bagus.” Tegas Balan yang dari tadi senyap sahaja.

Mereka menghabiskan minuman mereka sambil mendengar kisah-kisah dari rumah panjang masing-masing. Sagai memanggil Sigan supaya cepat bersiap kerana mereka akan bertolak mengikut Linggau, Ungga dan Balan. Parang yang siap diasah disimpannya dalam sarung. Makanan dan minuman sudah disediakan.

“ Sagai, kau pernah mendengar tentang Saruyong ?” tiba-tiba Linggau bersuara.

“ Saruyong? Apakah itu? belum pernah aku mendengarnya.” Balas Sagai.

“ Saruyong merupakan semangat hutan yang jahat. Sesiapa yang melanggar adat-adat hutan pasti akan disumpah menjadi Saruyong.” Jelas Ungga.

Sagai ketawa memperlekehkan kata-kata Ungga. Linggau terkejut.

“ Aku tidak percaya semangat hutan itu wujud. Bagiku, kita akan mendapat hasil dengan usaha kita sendiri. Itu semua karut.” Ujar Sagai.

Linggau tidak menyangka Sagai begitu bongkak sekali berkata demikian. Mereka mula mengemas barang-barang yang akan dibawa bersama. Linggau berasa hairan, hatinya bagaikan ingin memberitahunya sesuatu tetapi dia sendiri tidak pasti. Hatinya begitu berat untuk membenarkan mereka pergi. Sagai dilihatnya begitu bersemangat sekali.

“ Bulan, aku pergi dulu. Jaga diri baik-baik ya? Aku cintakan kau Bulan.”

Sagai mengucup dahi gadis itu. Sigan telah menunggu di bawah rumah. Semua warga rumah panjang mengucapkan selamat jalan kepada mereka berlima. Dengan gagah, Sagai memimpin mereka keluar dari kawasan rumah panjang lalu hilang ditelan hutan rimba yang tebal.

“ Linggau, kau suka makan rusa?” Tanya Sigan.

“ Ya, cukup suka. Dagingnya cukup manis.” Balas Linggau.

“ Tetapi, tidak dapat menandingi kesedapan ayam yang dipansuh.” Tambah Linggau lagi dengan nada berseloroh.

Mereka kini sudah berada dalam hutan. Hari ini merupakan hari pertama mereka berburu. Setelah sampai ke kawasan timur, mereka mula memasang perangkap untuk memburu khinzir mahupun rusa. Sesekali mereka meneliti bahagian atas pokok-pokok kalau-kalau terdapat tupai dan sebagainya. Sagai menunggu dengan sabar. Balan dan Ungga pula membuka bekas air lalu minum. Sagai masih berfikir tentang apa yang diberitahu oleh Linggau sebentar tadi. Saruyong. Apa benar Saruyong itu wujud? Berbagai persoalan menerjah minda pemuda yang sasa itu.

“ Ah, itu semua karut. Aku Sagai tidak kenal apa erti itu takut.” Getus hati kecilnya.

Wajah hampa jelas terpapar pada wajah mereka apabila tiada hasil untuk hari yang pertama. Linggau mengarahkan mereka untuk membuat tempat berteduh. Sagai turut kecewa kerana umpan yang dipasangnya tidak menjadi.

“ Tidak mengapa, esok masih ada.” Pujuk hatinya.

Pemburuan mereka telah masuk hari yang kedua. Dari pagi sehinggalah ke petang dan akhirnya ke malam, seekor haiwan buruan pun gagal ditangkap mereka. Satu perangkap pun tidak menjadi. Linggau berasa hairan. Kesabaran Sagai mula menipis. Sigan sudah mula dimamah penat.

“ Ah, aku bosan!” sergah Sagai.

“ Buruk sungguh hari ini. Malang betul nasib kita.” Tambah Sagai lagi

“ Sagai, jangan berkata begitu. Sabarlah. Mungkin esok ada.” Pujuk Linggau.

“ Aku tidak puas hati. Sudah tiga hari kita berada di kawasan timur ini.” Balas Sagai.

“ Sagai, jaga mulutmu itu. Saruyong pasti marah.”

“ Apa Saruyong? Mungkin dia yang menahan binatang-binatang itu supaya kita kelaparan di sini.”

Sigan terkejut. Balan, dan Ungga turut terkejut. Linggau sudah mengagak. Pada hari pertama lagi sudah ada yang tidak kena dengan perjalanan mereka. Ini sudah pasti angkara Saruyong, semangat hutan yang amat ditakutinya itu.

“ Jika benar Saruyong itu wujud, mari bersemuka denganku. Biar aku lawan dengan kekuatan dan parangku.” Sagai bagai hilang pedoman.

“ Sagai!! Celupar benar mulutmu. Kau tidak mengerti bahawa kita sudah berada dalam kawasan hutan rimba? Kawasan Saruyong!! Kau sudah melanggar adat-adat hutan Sagai. Nescaya Saruyong akan menghukummu.” Tegas Linggau.

“ Sagai. Sudahlah. Minta maaf dengan semangat hutan.” Ujar Sigan yang mula ketakutan.

“ Kau juga percaya akan kewujudan semangat hutan Sigan? Kau juga pengecut.”

Mereka meneruskan pemburuan mereka untuk hari yang keempat dan hari yang terakhir. Dalam meneruskan perjalanan, mereka mendapati bahawa Sagai telah hilang. Mereka cemas. Hutan rimba begitu besar sekali. Linggau yakin, semangat hutan telah menyembunyikan Sagai. Sigan memanggil nama Sagai berkali-kali. Begitu juga dengan Balan dan Ungga. Namun, tiada jawapan dari Sagai. Sagai benar-benar hilang. Puas mereka mengelilingi tempat yang mereka pergi untuk mencari Sagai tetapi hampa. Linggau mengarahkan mereka berpecah. Sigan ke utara manakala Balan ke timur. Ungga ke selatan dan Linggau ke barat. Penat menyerang Sigan. Sudah 4 hari mereka berada di dalam hutan rimba dan makanannya telah habis. Kini terpaksa mencari abangnya Sagai yang tiba-tiba hilang.

“ Sagai, di manakah kau?” hati kecil Sigan berkata-kata sayu.

Malam pekat menyukarkan lagi usaha mereka. Obor yang dipasang Sigan mula mengecil kerana kehabisan damar. Tiba-tiba satu lembaga hitam yang cukup besar berhenti di depan Sigan. Sigan terkejut lalu terjatuh. Di amatinya wajah lembaga hitam itu. Cukup menggerunkan. Walaupun malam pekat, Sigan mampu melihat raut wajah lembaga yang mengerikan itu. Matanya merah menyala dan gigi taring yang menyeringai. Di sisi lembaga itu terdapat dua ekor anjing besar. Seolah-olah mahu menerkam dan membaham Sigan. Sigan benar-benar takut namun lembaga itu tidak mengapa-apakan Sigan. Sigan jatuh pengsan.

“ Sigan, Sigan.”

Kedengaran suara Linggau memanggil. Mereka menemui Sigan yang terbaring lesu. Sigan segera menceritakan tentang lembaga hitam yang besar dan mengerikan. Linggau terduduk. Sangkaannya tepat sekali. Saruyong telah marah.

“ Lekas kita balik. Sagai kita akan cari semula apabila kita bawa lebih banyak orang dari rumah panjang.” Cadang Linggau

Suasana sedih menyelubungi perkarangan rumah panjang Encharang. Bulan tidak henti-henti menangis apabila diberitahu tentang kehilangan Sagai. Sigan kecewa dia tidak dapat berbuat apa-apa. Sagai seorang yang dihormati oleh masyarakat rumah panjang Encharang. Pada malam itu, Sigan turun ke bawah rumah untuk mengambil tali. Kedengaran suara lelaki memanggilnya dari dalam hutan. Sigan mengikuti suara tersebut.

“ Sagai, kau kah itu ?” ujar Sigan.

Alangkah terkejutnya Sigan apabila melihat abangnya Sagai berada di depan matanya. Sigan gembira dan ingin memeluk Sagai.

“ Jangan adikku. Aku bukan abangmu lagi.”

“ Kenapa Sagai?”

Tiba-tiba Sagai berubah menjadi lembaga yang tinggi dan mengerikan.

“ Aku disumpah oleh semangat hutan. Aku menyesal Sigan. Kini akulah apa yang mereka gelar Saruyong.” Ujar lembaga itu sayu.

“ Sagai!”

“ Sigan, dengar kataku ini. Aku bukan lagi manusia. Aku perlu makan, Sigan. Kau beritahu masyarakat kita agar berhati-hati agar tidak terserempak denganku.”

“ Bagaimana ?” soal Sigan.

“ Aku akan muncul pada waktu tengah malam. Pada waktu itu kau akan mendengar salakan anjing. Seperti dua ekor anjing yang aku bawa ini. Oleh itu, jangan kau suruh sesiapa keluar dari rumah pada waktu itu. Aku tidak akan mengganggu kau jika di depan rumah panjang kau dirikan sebuah tiang yang berukir. Aku akan tahu yang itu merupakan keluargaku. Percaya padaku tiang itu akan menyelamatkan kamu semua.” Jelas lembaga itu lagi lalu menghilang.

Sigan sedih kerana abangnya telah disumpah menjadi Saruyong, semangat hutan yang jahat. Sigan pun memberitahu masyarakat rumah panjang tentang Saruyong dan mula menyiapkan tiang berukir itu. Tiba sahaja waktu tengah malam, kedengaran salakan dua ekor anjing yang begitu aneh. Sigan tahu itu adalah tanda-tanda abangnya datang.

“ Saruyong, janganlah kau mengganggu kami lagi.” Getus hati kecil Sigan pada ketika itu sedang memeluk cucunya yang ketakutan.

1 comment:

ZSqueenbee said...

rajinnyaaaa.....molah cerpen....owh ada blog xmadah kmk...